Suami sebagai pemimpin rumahtangga semestinya sentiasa
kretif dalam mendidik isteri. Allah bekalkan kepada
kita kaum lelaki kekuatan akal yang rasional, tidak
terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan.
Lelaki tidak mudah tersinggung berbanding dengan
wanita. Jika kekuatan akal ini dapat dimanfaatkan
dengan sebaik-baiknya, ditambah dengan kesabaran serta
kekuatan jasmani untuk mencari nafkah keluarga, suami
akan menjadi pelindung dan pendidik yang berwibawa.
Firman Allah yang bermaksud:
“lelaki adalah pemimpin (pembela dan pelindung) bagi
wanita, kerana Tuhan telah melebihkan yang satu dari
yang lainnya, dan kerana suami telah menafkahkan
sebahagian daripada hartanya.”
Tercetusnya kebahagiaan rumahtangga ialah apabila
suami dapat menggunakan kekuatan akalnya serta
kesabaran dalam menghadapi kerenah dan ragam isteri –
makhluk yang kuat perasaannya.
Secara mudah, bolehlah dikatakan lelaki adalah makhluk
akal manakala wanita adalah makhluk rasa. Perasaan
wanita terlalu mudah terusik dengan suasana dan
keadaan sekeliling. Oleh itu dalam menghadapi wanita,
lelaki hendaklah banyak menggunakan daya fikir. Kalau
umpamanya isteri sedang berduka, suami perlu merancang
untuk mewujudkan perasaan gembira di dada isteri. Di
sinilah perlunya strategi dalam mendidik isteri.
Kaum wanita memang dibekalkan dengan sembilan nafsu
dan akal berbanding dengan lelaki hanya satu nafsu dan
sembilan akal. Nafsu yang dimaksudkan bukanlah nafsu
seks semata-mata tetapi nafsu yang menyebabkan
seseorang itu mudah tidak sabar, mudah prasangka,
pemarah, pemboros dalam berbelanja, cepat tersinggung
dan sebagainya. Pendekata, hasil dorongan nafsu itulah
lahirnya pelbagai perasaan di dada wanita. Sebab itu
dikatakan juga bahawa sembilan persepuluh daripada
diri wanita itu ialah perasaan dan satu persepuluh
saja pertimbangan akal. Atas dasar inilah wanita mesti
dipandu atau dibimbing oleh lelaki agar segala tindak
tanduknya tidak melulu ikut perasaan semata-mata.
Sembilan nafsu pada diri wanita boleh menyebabkan
kerosakan pada masyarakat dan keruntuhan rumahtangga
jika tidak dipagari dengan ilmu syariat. Mahu tidak
mahu suami terpaksa belajar sedikit sebanyak ilmu
untuk menundukkan wanita atau psikologi wanita serta
memenuhkan dada dengan ilmu syariat. Barulan nanti
dapat menggunakan kebijaksanaan dalam mendidik isteri
sekalipun adakalanya menghadapi ragam isteri yang
mencabar kesabaran kita.
Kebijaksanaan mesti disertai pula dengan kesabaran.
Kedua-duanya mesti ada pada seorang suami. Kesabaran
tanpa kebijaksanaan menyebabkan sumi menurut saja
kemahuan isteri sehingga isteri besar kepala. Manakala
kebijaksanaan tanpa kesabaran akan menyebabkan suami
tewas dengan nafsunya sendiri sehingga bertindak ganas
dan boleh membahayakan isteri. Maknanya, tanpa
kesabaran seseorang itu hilang pertimbangan akal dan
tidak dapat lagi melihat sesuatu persoalan dengan
tenang. Jika kesabaran tidak ada pada diri, ia perlu
diusahakan melalui latihan bepandukan ilmu tasauf.
Contoh bagaimana kesabaran boleh menundukkan nafsu
wanita dapat dilihat pada satu kisah seorang perempuan
tua yang suka mengganggu Rasulullah saw. Tatkala
Rasulullah saw lalu di sebelah rumahnya dia akan
membaling sampah kepada Rasulullah saw. Adakalanya dia
menaburkan sampah dan serpihan kaca di sepanjang jalan
yang akan dilalui oleh Rasulullah saw. Bahkan pernah
juga dia membaling najis semasa Rasulullah lalu di
sebelah rumahnya. Tetapi sedikit pun tidak dipedulikan
oleh baginda Rasulullah saw.
Suatu hari Rasulullah rasa pelik kerana perempuan tua
itu tidak menghalangi lagi perjalanannya baik dengan
serpihan kaca mahupun dengan sampah yang dibalingkan.
Apabila pulang dari masjid, baginda bertanya jiran
perempuan tersebut. Rupa-rupanya perempuan itu sakit.
Lalu baginda naik ke rumahnya dengan tujuan untuk
berziarah. Rasulullah bertanyakan khabar dan tolong
memasakkan air untuk perempuan tua itu. Alangkah
terkejutnya perempuan tersebut melihat akhlak
Rasulullah sanggup menziarai dan membantunya tatkala
dia sedang sakit. Akhirnya dengan sifat sabar
Rasulullah menghadapi kerenah perempuan tua itu
menyebabkan terbuka hatinya memeluk Islam.
Pada masa yang lain, pernah Rasulullah melintasi
sekumpulan kaum perempuan, lalu baginda memberi salam.
Tetapi tiada siapa pun yang menjawab salam baginda.
Baginda memberi salam sekali lagi. Mereka masih diam
juga. Akhirnya setelah tiga kali Rasulullah beri
salam, barulah mereka menjawab salam baginda. Apabila
ditanya mengapa mereka tidak menyahut salam yang
pertama dan kedua mereka menjawab, “Kami sengaja mahu
Rasulullah saw mendoakan untuk kami.”
Begitu Rasulullah saw mendidik kaum wanita. Walaupun
sesekali kesabaran baginda rasanya tercabar, tetapi
Rasulullah masih dapat menunjukkan akhlak yang paling
baik. Kadangkala apabila berhadapan dengan kaum
perempuan yang pendek akalnya, kita kaum lelaki mudah
naik angin. Memang tidak dinafikan ada masanya
perempuan mengambil masa untuk memahami sesuatu
perkara. Tetapi kita kaum lelaki mestilah menyedari
hakikat bahawa kaum perempuan memang sediakala lemah
pemikirannya. Oleh itu, kita kaum lelaki mestilah
bersedia untuk mendidik isteri dengan penuh kasih
sayang tanpa rasa jemu walaupun mengambil masa yang panjang.
Suatu ketika datang seorang perempuan berjumpa
Rasulullah dan bertanya tentang mendi hadas.
Rasulullah menjawab, “Ambillah sepotong kain perca
yang sudah dikasturikan lalu berwuduk dengannya.”
Perempuan itu terpinga-pinga kerana tidak memahami
keterangan Rasulullah. Lantas dia mengulangi lagi
pertanyaannya, “Bagaimana saya hendak berwuduk dengan
itu?” Sekali lagi Rasulullah mengulangi jawapan
baginda. Tetapi perempuan yang bertanya masih belum
memahaminya. Lalu Rasulullah meminta kepada Siti Aisah
supaya menerangkan kepada perempuan itu. Maka Siti
Aishah pun berkata, “Ambil sepotong kapas yang bersih,
lalu letakkan di tempat darah. Jika kapas itu tetap
putih tanda haid sudah berhenti,”
Yang dimaksudkan dengan unsur kasih sayang dalam
mendidik isteri bukanlah sekadar kata-kata asmara dana
atau pujuk rayu. Tetapi ia lebih daripada itu. Sifat
dan perwatakan suami itu sendiri hendaklah mempunyai
ciri pengasih. Sekalipun jika dia seorang pemimpin.
Ada waktu-waktu yang tertentu apabila suami bersama
isteri, kita hendaklah merendahkan sifat ego kita.
Seperti mana yang dibuat oleh Rasulullah tatkala
bersama Siti Aishah. Sewaktu Rasulullah dinikahkan
dengan Siti Aishah, umur baginda 55 tahun manakala
Siti Aishah baru enam tahun dan mereka bersama tatkala
Siti Aishah berusia sembilan tahun. Semasa melayan
Siti Aishah, ada masanya Rasulullah berlagak seperti
kawan sepermainan. Siti Aishah diajak berlumba lari.
Kadang-kadang Siti Aishah menang dan adakalanya
Rasulullah menang dalam perlumbaan tersebut. Bermakna
sewaktu bersama isteri adakalanya Rasulullah melayan
kehendak isterinya tanpa menjatuhkan mertabatnya
sebagai seorang suami yang wajib dihormati oleh
isteri. Ini menunjukkan bahawa pada masa-masa tertentu
suami mesti pandai memikat hati isteri asalkan tidak
sampai terlalai hingga menurut saja segala kemahuan
isteri. Di sinilah perlunya ketegasan seorang suami.
Tegas dalam syariat dan tegas dalam perjuangan. Tegas
tidak pula bermakna kasar atau garang cuma jangan
sampai kerana hendak melayan kehendak isteri, syariat
dan perjuangan terpaksa diketepikan.
Sebagai orang yang ditua-tuakan dalam sesebuah
rumahtangga, suami berhak untuk mendidik dan
menyelesaikan segala kekusutan fikiran isterinya. Oleh
kerana wanita seringkali bertindak mengikut
perasaannya, maka adakalanya apabila fikiran terganggu
emosinya juga terikut sama. Tatkala itu kalau ada
kesalahan suami walaupun kecil akan diungkit-ungkit
lebih-lebih lagilah jika kesalahan itu dianggap besar,
mulalah meluap-luap perasaan marahnya pada suami.
Memang satu sifat yang agar sukar untuk dikawal ialah
tatkala dia sedang marah. Kadang-kadang dia mengamuk
macam ribut taufan lakunya (sebab itu kebanyakan nama
ribut diambil dari nama perempuan umpamanya Taufan
Lydia, Ariel, Angela dan lain-lain).
Bagaimana sepatutnya tindakan suami untuk
mententeramkan isteri yang sedang dilanda ribut taufan
ini? Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai
kemarahannya reda kemudian baru diterangkan dengan
sejelas-jelasnya setiap perkara yang perlu diterangkan
terutama yang menimbulkan prasangka isteri. Mengapa
perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana
tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan
perasaan marahnya. Kalau dijawab, bererti kita sengaja
mencari pasal kerana berlawan dengan syaitan. Maka
lebih baik didiamkan sahaja sehingga perasaan marahnya
kendur. Ada kalanya demi keharmonian rumahtangga, ada
perkara-perkara tertentu yang tidak sepatutnya
diketahui oleh isteri. Kalau perlu disembunyikan dari
pengetahuan isteri, sembunyikan sungguh-sungguh. Saya
bukanlah menggalakkan suami mengambil kesempatan
melakukan perkara yang sumbang dan berbuat dosa di
belakang isteri. Tetapi jika perkara yang
disembunyikan itu tidak bertentangan dengan syariat,
memang ada baiknya disembunyikan. Mungkin ia berhubung
dengan suatu perkara yang isteri masih sukar untuk menerimanya.
Hal ini pernah berlaku dalam rumahtangga Rasulullah
saw. Suatu hari isteri-isteri datang menemui baginda
dan Siti Aishah, yang mewakili mereka semua, bertanya,
“Wahai Rasulullah, di antara isteri-isteri Rasulullah,
yang manakah yang paling Rasulullah sayangi?”
Rasulullah tersenyum mendengar pertanyaan itu.
Rasulullah tidak terus menjawabnya. Bahkan baginda
menyuruh kesemua isterinya pulang dahulu dan berjanji
akan memberikan jawapannya kemudian.
Bagaimana harus dijawab kalau anda ditanya begitu oleh
isteri-isteri anda? Memang tidak dinafikan perasaan
kasih sayang itu tidak boleh diberi sama adil. Ini
diakui oleh Allah. Tetapi suami mestilah pandai
memainkan peranannya supaya jangan ada dikalangan
isteri-isteri yang tersinggung perasaanya kerana
mengetahui suami lebih sayang kepada isteri yang lain.
Berbalik kepada kisah tadi, maka seperti biasa
Rasulullah saw mendatangi isteri-isterinya mengikut
giliran masing-masing. Rasulullah sedikit pun tidak
menyebut mengenai persoalan yang dikemukakan itu.
Sebaliknya sebelum baginda meninggalkan isterinya,
setiap seorang baginda hadiahi sebentuk cincin dan
baginda berpesan agar mereka tidak memberitahu pada
isteri-isteri yang lain. Pada hari yang telah
ditetapkan Rasulullah saw menyuruh isteri-isterinya
berkumpul kerana baginda hendak memberi jawapan kepada
persoalan yang dikemukakan.
Maka berdebar-debarlah hati masing-masing untuk
mengetahui siapakah di antara mereka yang paling
disayangi oleh Rasulullah. Ada yang terasa pasti
jawapannya Siti Aishah kerana beliaulah yang termuda
di antara mereka. tetapi dengan kebijaksanaan
Rasulullah, baginda pun berkata, “Isteri yang paling
disayangi ialah mereka yang diberi cincin kepadanya.”
Maka tersenyumlah isteri-isteri Rasulullah kerana
setiap seorang menyangka dia sahaja yang menerima
cincin tersebut. Begitulah sepatutnya tindakan suami,
pandai menyelesaikan kekusutan fikiran isteri.
Satu perkara lagi biasanya kaum perempuan suka
berleter atau setengah orang kata macam mulut murai.
Suami yang bijak akan berdiam dan tidak menjawab
leteran isteri. Ini bukan bermakna suami mengalah,
tetapi sebagai satu strategi. Ibarat orang sedang
sakit gigi. Gigi yang sakit jangan terus dicabut
kerana akan bertambah sakitnya. Hendaklah tunggu
sehingga sakitnya berkurangan barulah dicabut.
Maknanya isteri yang sedang berleter, jangan
dinasihati. Hendaklah tunggu keadaannya menjadi kendur
barulah boleh dinasihati. Dan nasihat itu mestilah
kena pada tempatnya. Maka barulah diterima dan
dirasakan seperti kepala yang disirami embun pagi pada
kala panas terik. Rasulullah juga pernah berhadapan
dengan kerenah perempuan yang suka berleter.
Rasulullah tidak menjawab sepatah pun. Baginda memberi
peluang kepada perempuan tersebut meluahkan
ketidakpuasan hatinya. Apabila kesemuanya telah
diluahkan, barulah baginda memberi penjelasan atau pun
memaafkan saja dan melupakan perkara tersebut.
Tidak semua suami memiliki isteri yang banyak kerenah.
Beruntunglah suami yang memiliki isteri yang sikapnya
terlalu pangasih terhadap suami dan anak-anak.
Perempuan begini rela mengorbankan seluruh jiwa dan
raganya untuk kebahagiaan suami dan anak-anak. Dia
akan bersikap sebagai penghibur, penyayang, pendorong
dan pembantu kepada perjuangan suami sekiranya
suaminya seorang pejuang atau pendakwah. Isteri begini
bukan sahaja tidak membebankan suami dengan
masalah-masalahnya bahkan dia akan berusaha untuk
menyelesaikan masalah suaminya. Sabda Rasulullah saw
yang bermaksud:
“Barangsiapa memiliki isteri yang solehah maka
sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya.”
Rasulullah juga bersabda yang bermaksud:
“Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah
memiliki isteri yang solehah.”
Apabila wanita dapat dididik dengan betul maka ia
dapat memberi kebaikan kepada seluruh umat kerana di
tangan wanitalah penentu corak generasi akan datang.
Kelembutan dan kehalusan belaian tangan wanita yang
solehah akan membahagiakan seluruh isi alam.